Sunway Gerakkan Inisiatif Desa Mentari Basmi Kemiskinan Bandar
Sunway telah memulakan projek pelbagai skop jangka panjang bagi menangani kemiskinan bandar dan isu kualiti hidup lain di skim perumahan awam, Desa Mentari melalui Inisiatif Desa Mentari.
Seperti mana kebanyakan komuniti miskin bandar di seluruh dunia, rata-rata mengalami kesukaran dan kekurangan akses terhadap pendidikan berkualiti dan juga peluang pekerjaan serta menghadapi pelbagai cabaran sosial dan kesihatan.
Oleh sebab itu, fokus Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebahagian besarnya adalah menumpukan kepada pembasmian kemiskinan dan membantu kumpulan B40 meningkatkan ekonomi mereka.
Menerusi RMK12, kerajaan merancang pelbagai program untuk golongan berkenaan antaranya melalui program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar, dan skim pembangunan kesejahteraan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion.
Sementara itu, menurut laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak pada 2022 membabitkan anggaran 487,576 isi rumah. Bagi insiden kemiskinan di bandar ia meningkat daripada 3.9 peratus pada tahun 2019 kepada 4.5 peratus pada tahun 2022.
Menyedari permasalahan inilah, Sunway menggerakkan usaha menjayakan Inisiatif Desa Mentari yang turut diharapkan dapat membawa perubahan begitu bermakna bagi penduduk di Desa Mentari.
Kediaman Desa Mentari di sepanjang Lebuh Raya Persekutuan yang disiapkan pada awal 2000 itu terdiri daripada 10 blok pangsapuri setinggi antara 12 hingga 18 tingkat dan dihuni lebih daripada 26,100 individu.
Sebilangan besar komuniti setempat terdiri daripada penghuni berbilang bangsa itu tergolong kategori B40.
Justeru, inisiatif Sunway itu bertujuan bekerjasama dengan ahli komuniti setempat untuk membina satu pelan tindakan yang holistik, inklusif dan berinovatif untuk menangani isu berkenaan.
Apabila siap kelak, diharap dapat meningkatkan skala pelan tindakan bagi membantu menangani masalah kemiskinan bandar pada peringkat kebangsaan dan seterusnya peringkat serantau.
Inisiatif Desa Mentari adalah sejajar rangka kerja dasar MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara fokus utama dasar MADANI adalah pembasmian kemiskinan tegar dan memastikan setiap komuniti di Malaysia diberi peluang untuk meningkatkan kualiti hidup mereka secara mampan lagi bermakna.
Inisiatif Desa Mentari juga sejajar agenda pembangunan mampan yang diterima pakai sebulat suara oleh anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015, membabitkan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (UN-SDGs).
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, berkata bahawa Kumpulan Sunway sudahpun mendukung UN-SDGs secara menyeluruh.
Katanya, mereka juga sudah mengintegrasikan semua UN-SDGs itu dalam setiap aspek perniagaannya.
"Inisiatif ini juga selaras dengan misi peribadi saya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara serta memberi kembali kepada masyarakat dengan cara yang berkesan dan bermakna," katanya.
Beliau yang juga Pengasas dan Canselor Universiti Sunway berkata, Universiti Sunway akan mengetuai inisiatif itu sambil bekerjasama dengan Kumpulan Sunway berserta rakan kongsi industri, agensi kerajaan, kumpulan masyarakat, institusi pendidikan pada peringkat global dan komuniti di situ.
Katanya, Universiti Sunway juga akan melaksanakan inisiatif itu dengan kerjasama rakan akademik globalnya, iaitu TH Chan School of Public Health di Universiti Harvard serta Universiti Cambridge, Universiti Oxford dan Universiti Lancaster di United Kingdom.
"Melalui Institut Penyelidikan Bandar Masa Depan, sebuah platform penyelidikan kolaboratif bersama Universiti Sunway dan Universiti Lancaster, juga akan memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam usaha membangunkan persekitaran bandar yang boleh didiami dan mampan untuk manfaat Desa Mentari.
"Usaha ini akan membawa sebuah pangkalan data yang komprehensif untuk keperluan institusi akademik dan penggubal dasar tempatan dan juga serantau menangani isu kualiti hidup di kawasan perbandaran yang pesat membangun," katanya.
Cheah berkata, memandangkan pembangunan komuniti adalah komponen penting dalam pengalaman pembelajaran di Universiti Sunway, lebih daripada 3,000 pelajar membabitkan diri dalam inisiatif Campus with a Conscience pada setiap tahun, sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka.
Pembabitan pelajar ini dalam kerja sukarelawan secara tidak langsung membangunkan mereka secara holistik kerana elemen komuniti adalah kunci untuk pelajar menjadi warganegara yang bertanggungjawab secara sosial.
Pada masa sama, jangkauan komuniti amat penting kerana ia mewujudkan peluang kepada pelajar untuk membabitkan diri secara positif dengan komuniti merentas semua peringkat masyarakat.
Menurut Cheah lagi, usaha itu sekali gus dapat memupuk dan melahirkan generasi pemimpin seterusnya yang peka terhadap keperluan masyarakat yang memerlukan.
Jelasnya, setiap pelajar akan berpeluang bekerja dengan komuniti berkenaan dan membantu menghasilkan penyelesaian berinovatif untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh penduduk di Desa Mentari.
"Kita memerlukan pendekatan baharu dan berinovatif untuk mengatasi cabaran yang kita hadapi di dunia hari ini.
"Saya sentiasa percaya bahawa kita tidak boleh menangani isu era digital dengan pemikiran analog.
"Justeru, Inisiatif Desa Mentari adalah contoh penggunaan cara baharu menyelesaikan masalah yang berlarutan.
"Malah, pendekatan pelbagai disiplin dan inklusif ini akan membantu kita merungkai kaedah yang kebanyakan berasaskan silo untuk menangani isu sebegini.
"Mari kita sama-sama teguh mengharungi cabaran ini," katanya.
Artikel ini telah diterbitkan dalam Berita Harian. Untuk membacanya, anda boleh klik link di bawah
This article was also featured in English in the Star Online. To read it, click the link below.